Laman ini diwujudkan khas untuk berkongsi karya-karya dari Musafir Cinta Ilahi dan sahabat-sahabat blogger buat tatapan semua. Semoga kisah-kisah yang dimuatkan memberi manfaat dan mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT. Selamat membaca. (:

Sunday 4 November 2012

Cerpan : Abu Hanzalah [8-Akhir]



Bahagian 8
[1][2][3][4][5][6][7][8-Akhir]

Ketukan pintu diiringi salam kedengaran dari luar. Hanzalah bangun lalu memulas tombol pintu yang berkunci. Sebaik daun pintu dibuka, terjengul kepala Khalid bersama dua orang lelaki berbaju kurung dan berkain pelikat.

"Eh, ni mesti enta lupa nak bawa kunci lagi ni." ujar Hanzalah pada roomatenya. Khalid hanya mampu tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

Kenal benar dia dengan Khalid. Selalu saja kuncinya tertinggal. Pernah suatu hari tu, Hanzalah terpaksa bergegas balik ke kolej asrama semasa sesi kuliah gara-gara Khalid tertinggal kunci sewaktu dia ke bilik mandi. Untuk Khalid ke fakulti memang takla kerana di badannya hanya tersarung kain pelikat sahaja. Nasib baikla jiran sebelah bilik mereka masih ada, dapatlah Hanzalah memberi mesej kepada Hanzalah melalui henset jiran bilik mereka. Bila kenang balik, rasa nak ketawa pun ada.

"Adik abang pun ada." Hanzalah menepuk-nepuk bahu Razif, adik usrahnya. Razif membalasnya dengan senyuman.

"Tadi ana selisih Razif ni kat kafe. Kebetulan dia nak ziarah enta, jadi ana ajakla dia sekali." ujar Khalid.

Mereka membentuk halaqah kecil di tengah-tengah ruang bilik yang kosong yang menjadi kebiasaan mereka untuk menjalankan usrah atau berkongsi ilmu. Khalid meminta adik usrahnya, Hairi membuka sesi halaqah tersebut.

 Khalid bersama-sama Hanzalah cuba memahamfamkan Hairi dengan topik akidah yang disentuh pada sesi ini. Manakala Razif pula, lebih banyak mendengar kerana tajuk ini sudah dikupas oleh naqibnya iaitu Hanzalah. Hairi memberikan respon positif setiap kali perbincangan di jalankan. Dia tidak segan untuk bertanya jika dia tidak tahu tentang sesuatu perkara.

Sebelum mengakhiri halaqah tersebut, sempat Hanzalah mengingatkan kedua-dua mad'u di depannya itu bahawa ilmu akidah ini tidak cukup untuk dikupas dalam masa yang singkat ini. Dalam mempelajari ilmu ini, kita perlu berguru dengan orang yang faqih dalam bidang tersebut. Tidak cukup hanya dengan membaca buku-buku, facebook atau blog.

Mereka berdua mengangguk faham. Bagi Razif, sememangnya setiap kali sebelum berakhirnya usrah dengan naqibnya itu, Hanzalah selalu mengingatkan dia tentang ini. Selepas menutup halaqah, Razif berbual-bual sebentar dengan Hanzalah sementara Hairi meminta diri terlebih dahulu kerana ada kerja katanya. Selepas berbual sekejap, Razif pula mengundurkan diri. Khalid mendapatkan Hanzalah.

"Hanzalah, enta ingat tak dulu ana pernah merungut tentang Hairi?"

Hanzalah termenung sekejap. "Owh..ingat..ingat.."

"Masa tu entalah yang bagi semangat kat ana agar jangan putus harapan pada budak Hairi tu. Kalau ikutkan ana memang nak 'give up' dah." ujar Khalid.

"Alhamdulillah, berkat kesabaran enta ditambah pula dengan doa, Allah lembutkan juga hati Hairi tu. Semuanya dengan izinNya. Dia berhak memberi hidayah kepada sesiapa saja Dia kehendaki."

"Betul cakap enta tu. Sebagai seorang daie kita tidak seharusnya cepat berputus asa dan tidak memilih mad'u. Ana sedar pada mulanya ana sudah tidak meletakkan harapan pada Hairi kerana sikapnya itu. Silap ana." ujar Khalid agak kesal.

"Yang dah lepas tu biarlah. Allah mahu memberi iktibar buat enta, ana dan kita semua. Kita hanya mampu menyampaikan tetapi yang menarik dan memberi hidayah kepada mereka hanya Allah Subhanahu wataala." balas Hanzalah.

"Syukran Hanzalah. Hmm, enta ada nak beritahu ana sesuatu tadi kan? Apa dia?" soal Khalid sejurus teringat yang Hanzalah mahu memberitahunya sesuatu.

Hanzalah diam sejenak. Sememangnya dia mahu khabarkan berita ini kepada Khalid selepas saja adik usrah mereka berlalu. Tapi entah kenapa malu pula rasanya nak diberitahu kepada Khalid.

"Eh..senyap pula. Kenapa ni? Enta nak kahwin ea?" gurau Khalid, bibirnya ketawa kecil.

Hanzalah tersentak mendengar kata-kata Khalid, mukanya di hala ke arah Khalid. Dengan tenang dia berkata, "Naam. Ana mahu mendirikan baitul muslim."

Kali ini Khalid pula terlopong. 'Biar betul!'

"Ish..enta ni tutupla mulut tu. Mata tu tak perlulah nak dibesarkan, ana ni kat depan enta je." Hanzalah ketawa kecil melihat reaksi sahabatnya itu.

"Betul ke? Dah ada calon?"

"Iye, Khalid. Walimahnya dua bulan lagi."

"MasyaAllah, sahabat ana ni dalam diam rupanya berisi. Ana tumpang gembira. Nampaknya tinggal ana sorang sajalah yang membujang.hehe.." ujar Khalid dengan nada gurauan.

"Perancangan Allah, Khalid. Ana pernah jumpa muslimat ni dua kali je melalui Ustaz Rifqi. Melaui isteri ustaz, ana dapat gambaran serba sedikit tentang muslimat tersebut dan ana yakin dengan ustaz dan isterinya. Alhamdulillah, setelah solat istikharah, ana tenang dengan pilihan ini. Tolong doakan semuanya berjalan lancar." ujar Hanzalah.

"InsyaAllah, ana doakan yang terbaik buat enta."

Hanzalah sendiri tidak menyangka secepat ini majlis perkahwinannya. Pertemuan dengan ustaz temph hari, adalah ingin menyampaikan hasrat sorang muslimat kepadanya. Dia berasa sangat tidak layak untuk mendapatkan tempat di mata dan di hati muslimat tersebut. Tetapi dia tidak menceritakan kepada sesiapa pun bahawa muslimah itu yang mentaqdim dirinya.

Setelah berbincang dan diberi tempoh masa, pertemuan diaturkan. Hanzalah bertambah yakin dengan pilihan yang dibuatnya. Pada mulanya, Hanzalah mahu kahwin selepas mendapat pekerjaan memandangkan pihak perempuan ahu menetapkan dua bulan dari tarikh tersebut. Yang mejadi kegusaran Hanzalah adalah, dia baru menamatkan ijazahnya. Bagaimana mahu membina keluarga kalau ekonomi pun belum stabil lagi.

Dengan sokongan dan bantuan yang dihulurkan oleh ustaz Rifqi juga hasil perbincangan keluarga Hanzalah dengan pihak perempuan, akhirnya Hanzalah bersetuju.

'Semoga Allah redha.' bisik Hanzalah di dalam hati.

~~~~

3 bulan kemudian...

"Sumayyah..terima kasih."

"Kenapa?"

"Sebab hadir dalam hidup abang.. "

Senyap.

"Hmm, patutnya Sumayyah yang berterima kasih pada abang."

"Kenapa?"

"Sebab..sebab..hmm sebab abang terima hasrat Sumayyah." ujar Sumayyah malu-malu.

Hanzalah tersenyum. Memang benar, Sumayyah yang menyampaikan hasratnya kepadanya dulu melalui isteri ustaz Rifqi. Alhamdulillah, sekarang mereka sah menjadi suami isteri. Bagi Hanzalah pula kehadiran Sumayyah, isterinya yang tercinta mungkin pengubat duka yang Allah hadiahkan setelah orang yang tersayang satu-satu pergi meninggalkannya.

"Kalau macam tu, kita kena sama-sama berjanji."

"Janji apa bang?"

"Bahawa kita kena saling membantu, saling memahami, saling menasihati, saling mempercayai dan saling memperbaiki segala kekurangan dalam diri kita. Supaya hubungan yang kita bina ini mudahan mendapat redha daripadaNya."

"Baik bos!" Sumayyah patuh.

"Tapi Sumayyah ada satu permintaan.. " ujar Sumayyah lagi.

"Apa dia?" soal Hanzalah.

"Err, nanti abang tolong ajar Sumayyah masak sampai Sumayyah 'terror' boleh? Sebab Sumayyah tak mahu jadi macam haritu." ujar Sumayyah segan.

Hanzalah teringat kembali masa sehari bergelar suami isteri. Kecoh kat dapur Sumayyah mahu menyediakan makanan tengahari. Agak tak menjadila masakannya. Sememangnya sebelum kahwin dia sudah dikhabarkan bahawa Sumayyah tidak mahir dalam memasak. Tapi dia tak kisah, sebab hal memasak boleh belajar.

"Ok, no problem!" ujar Hanzalah sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang kemas tersusun.

Dan Sumayyah, sudah pastilah dia sangat bersyukur kerana dikurniakan suami seperti Abu Hanzalah yang baginya cukup merendah diri dan seorang yang penyabar. Lebih-lebih lagi dirinya masih banyak yang kurang tetapi Hanzalah sudi menghulurkan tangan untuk bersama-sama mengajaknya menuju ke gerbang syurga. Semoga Allah merahmati hubungan ini. InsyaAllah.

::TAMAT::

Terima kasih pada yang sudi membaca (:



Wednesday 24 October 2012

Cerpan : Abu Hanzalah [7]


Bahagian 7

Panggilan telefon dari seorang wanita sebentar tadi membuat degupan jantungnya bertambah laju. Tidak sangka niatnya untuk menziarahi ayahnya di hospital pada petang tersebut bertukar menjadi suasana yang cemas.

Menurut wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Puan Sharifah, ayahnya berada dalam keadaan tenat dan nama Hanzalah tidak putus-putus meniti di bibirnya. Hanzalah tidak tahu bagaimana Puan Sharifah mendapatkan nombor telefon bimbitnya. Tetapi bukan itu yang harus dirisaukan sekarang, tetapi keadaan ayahnya.

Dengan ditemani Khalid, Hanzalah melangkah pantas masuk ke ruangan hospital. Selepas bercakap sebentar di kaunter, dia segera melantun kakinya ke arah bilik dimana ayahnya ditempatkan. Khalid hanya mengikut dari belakang. Dia tahu sahabatnya berada dalam keadaan yang sangat risau.

Sesampainya di pintu, dia berhenti. Tangannya teragak-agak mahu membuka pintu itu atau tidak. Tiba-tiba tombol pintu ditolak dari dalam. Hanzalah kaget.

Seorang wanita yang agak berumur berdiri sopan di hadapannya. Mungkin inilah Puan Sharifah yang menghubunginya sebentar tadi.Matanya bengkak mungkin kerana terlalu banyak menangis. Sisa air mata masih jelas di bibir matanya.

Tiba-tiba Hanzalah terdengar namanya dipanggil dari dalam dengan suara yang amat lemah. Dia meluru masuk dan mendapatkan ayahnya di katil. Tangan ayahnya dipegang dan dikucup.

"Han..z..alah..ke.. ni?" dalam lemah-lemah ayahnya bertanya.

Hanzalah hanya mampu mengangguk. Air mata yang ditahan akhirnya tumpah jua. Melihat keadaan ayahnya, dia jadi ditusuk pilu.

"Hanz.. ayah..minta ampun hanz...ayah berdosa pada ibu..pada kakak..dan pada Hanz..ampunkan..aa..yah Hanz.." suara ayahnya terketar-ketar menahan sakit.

"Ayah..Hanzalah yang patut minta ampun kerana selama ni Hanzalah ego. Hanzalah tak datang pun melawat ayah di hospital. Hanzalah bukan anak yang baik. Maafkan Hanzalah ayah."

"Buu..kkaan..Ayah yang bersalah. Kalau bukan kerana ayah, ibu tak akan .."

Hanzalah menutup lembut mulut ayahnya. "Yang dah lepas biarlah.. Jangan diungkit kembali. Mungkin itu sudah ajal ibu. Allah sayangkan ibu."

Walaupun betapa susahnya sebelum ini dia mahu menerima kenyataan ini, namun dia mahu ayahnya senang dan tidak berterusan meletakkan kesalahan itu di atas bahunya.

"Sekarang... ayah su..dah tenang. Terima kasih hanzalah.. kera..na sudi ma..afkann ayah." ujar ayahnya perlahan.

"Iye..ayah harus kuat. Ayah perlu hidup. Saya ingin hidup bersama-sama dengan ayah. Saya perlukan ayah." tiba-tiba genggaman tangan ayahnya terlepas. Kelihatan kelopak mata ayahnye tertutup dengan perlahan.

Saat itu jantung Hanzalah juga berdegup kencang. Dia tidak sanggup untuk menghadapi satu lagi kematian. Cukuplah dia kehilangan ibu dan seorang kakak. Harapan mahu hidup bersama ayahnya sangat tinggi.

Doktor meluru datang dan menyuruhnya beralih ke tepi. Mungkin wanita itu yang memanggil doktor tersebut. Hanzalah dan wanita itu masing-masing berdebar menanti doktor yang sedang memeriksa ayah Hanzalah.

Kemudian doktor menggelengkan kepala. "Maaf, Encik Hamidi sudah dijemput Allah."

Sebaik saja mendengar kata-kata doktor tersebut, kaki Hanzalah seakan lemah. Tenaganya bagai diserap oleh angin. Khalid mendapatkannya. Dia sempat berpaut pada Khalid. Entah bila pula Khalid berada dalam bilik itu pun dia tak tahu.

Tetapi wanita di sebelahnya kelihatan tenang. Hanya air matanya sedikit yang mengalir. Selepas semuanya selesai, dia akan berbicara dengan wanita tersebut. Buat masa ini, fikirannya masih kusut. Badannya tidak bermaya. Sekarang dia sudah tidak ada siapa-siapa lagi.

~~~~

Selepas mendengar cerita Puan Sharifah merangkap isteri kedua ayahnya, Abu Hanzalah mula memahami kisah sebenar yang berlaku. Rupanya ayahnya dahulu pernah dijodohkan dengan Puan Sharifah, tetapi disebabkan perasaan cemburu ibunya, rancangan jahat untuk memisahkan mereka berdua telah dijalankan dan akhirnya ayahnya terpaksa berkahwin dengan ibunya.

Arwah ibunya dulu melayan ayahnya acuh tak acuh terumatanya selepas Hanzalah dilahirkan. Ibunya selalu memburuk-burukkan ayah kepada mereka dua beradik. Hanzalah percaya tiap kata-kata ibunya tapi tidak pula kakaknya. Sehinggalah ayahnya membawa diri dan menceraikan ibunya kerana tidak tahan dengan sikap ibunya.

Hanzalah rasa sangat bersalah kerana menuduh ayahnya bukan-bukan. Selepas perubahannya dia tidak sempat pun menjalankan tanggungjawab seorang anak dan adik kepada kedua insan yang pernah disakitinya untuk menebus kesilapan lalu. Kini dia tidak punya siapa-siapa lagi. Yang tinggal mak teh dan pak teh satu-satunya saudara yang dia kenal.

1 tahun kemudian.. 

"Abang..abang Hanzalah!" laung satu suara.

Hanzalah menoleh ke arah suara tersebut. Pemuda di hadapannya kelihatan terengah-mengah.

"Owh..Hairi. Ada apa Hairi cari abang? Maaf, abang tak dengar panggilan Hairi tadi." Hanzalah mengukir senyuman.

"Ustaz..Ustaz Rifqi nak jumpa abang. Ustaz tunggu di biliknya." mengah Hairi belum hilang. Hanzalah menepuk bahu Hairi yang merupakan juga adik usrah Khalid.

"Baik. syukran ya akhi." ujar Hanzalah lalu beredar menuju ke bilik Ustaz Rifqi.

Setelah memberi salam, Hanzalah dijemput masuk lalu mengambil tempat berhadapan ustaznya.

"Apa khabar Ustaz?" Hanzalah memulakan bicara.

"Alhamdulillah, Ustaz sihat saja. Ustaz dengar enta bekerja, betulkah?" soal Ustaz.

"Owh..Ustaz nak tanya pasal ni ke? Ya, ana buat part time je Ustaz, boleh la buat simpanan sedikit." jawab Hanzalah.

"Hmm, bukan itu tujuan utama Ustaz panggil enta ke mari. Sebenarnya Ustaz ade hal nak beritahu kepada enta." ujar Ustaz tenang.

Tiba-tiba Hanzalah rasa berdebar. Tidak tahu kenapa, tetapi rasanya jemputan Ustaz ke biliknya ini, ada perkara besar yang mahu disampaikan oleh beliau. Hanzalah mendengar dengan tenang setiap butir bicara yang keluar dari bibir Ustaz Rifqi dari awal sehinggalah habis tanpa sedikit pun dia mencelah.


bersambung....

Nantikan episod akhir.. ^__^,

Friday 28 September 2012

Cerpan : Abu Hanzalah [6]


Bahagian 6

Hanzalah mengesat tubir matanya yang basah. Ditangannya terdapat satu sampul surat yang agak lama. Dia membuka kembali isi surat yang ditinggalkan arwah kakaknya. Setiap kali dia teringat akan kakaknya, pasti surat itu dibaca.

Assalamualaikum adikku Abu Hanzalah yang tersayang..

Semoga adik sentiasa dalam limpahan rahmat dan kasih sayangNya. Pastinya, ketika adik membaca surat ini bermakna kakak sudah tiada di sisi adik lagi. Bermakna akak sudah dijemput oleh kekasih yang Maha Esa. Jadi usahlah adik bersedih hati, kerana perpisahan kita hanya sementara.


Wahai adikku permata agama,

Kakak selalu mengimpikan kita bersama-sama dalam perjuangan ini,
Tetapi dahulu adik tidak mengerti hasrat kakak..
Yang mampu akak buat hanyalah berdoa dan terus berdoa agar Allah lembutkan hati adik..
Dan kakak pasakkan di hati akak bahawa suatu hari nanti adik akan menjadi seseorang..
Seseorang yang akan meneruskan perjuangan ini. 

Adikku Abu Hanzalah,

Masihkah adik ingat tentang cerita Abu Hanzalah yang turun menyahut medan jihad sebelum sempat mandi junub? Maafkan kakak dik.. Kerana tidak sempat menghabiskan cerita ini sebelum adik pergi belajar. Tetapi kakak yakin, adik akan hadam kisah Abu Hanzalah ni pada suatu masa nanti. Titiplah semangat 'Abu Hanzalah' dalam dirimu dik.. 

Wahai permata hati kakak,

Hanya satu permintaan kakak yang terakhir. Adik maafkanlah ayah. Walau apa pun dia buat, dia tetap ayah kita. Adik tidak dapat menafikan hak dia sebagai seorang ayah. Adik carilah ayah di alamat yang kakak tinggalkan bersama surat ini. Sudah sampai masanya adik menunaikan hak seorang anak ke atas seorang ayah. Bagilah peluang kepada dia.

Adikku sayang,

Terakhir kalinya, akak memohon maaf kerana selama ini merahsiakan penyakit ini. Ini kerana akak tidak mahu Hanzalah risau. Akhir kata, doakanlah kakak aman disana. Semoga Hanzalah menjadi mujahid unggul yang mana syahid diangkat sebagai cita-cita. Akak terlalu menyanyangimu Hanzalah. 

Salam terakhir sayang dan kasih daripada kakakmu,

Nusaibah
-Hidup adalah perjuangan !-

~~~~

"Khalid, enta free tak petang ni?" soal Hanzalah.

Khalid memuncungkan mulutnya seakan-akan berfikir sesuatu. Kepalanya dipalingkan ke arah Hanzalah.

"InsyaAllah, free. Kenapa? Enta nak belanja ana makan ke?" seloroh Khalid.

"Ish, enta ni.. bab makan nombor satu. Bukanlah. " ujar Hanzalah. Khalid tersengih menampakkan giginya yang putih

 "Emm, ana nak minta tolong sikit." ujar Hanzalah dengan nada serius.

"Apa dia?" mata Khalid memandang tepat pada muka Hanzalah.

Menunggu buti-butir kata daripada sahabatnya. Hanzalah menunduk. Lama. Khalid dengan sabar menunggu apa yang mahu diperkatakan oleh sahabatnya itu. Hanzalah mengangkat mukanya. Matanya merah.

"Ayah ana sakit. Ana nak jumpa dia. Rasanya sudah masanya ana membuang segala ego didada. Ana rasa sangat berdosa Khalid. Tapi ana tak ade kekuatan untuk jumpa dia." ujar Hanzalah dengan nada yang agak sayu.

Khalid mendapatkan Hanzalah. Bahu sahabatnya ditepuk-tepuk perlahan.

"Hanz, baguslah kalau macam tu. Eloklah enta jumpa dengan dia sebelum terlambat. Nanti ana temankan enta ke sana. Naik kereta ana ok." ujar Khalid tenang. Hanzalah memandang wajah sahabatnya. Dia sangat bersyukur Allah telah menganugerahkan seorang sahabat yang sangat memahami dan baik hati seperti Khalid.

"Khalid, entalah sahabat ana dunia dan akhirat. Ana sangat bersyukur pada Allah kerana beri enta pada ana. Ana sayang enta kerana Allah. " luah Hanzalah ikhlas. Entah kenapa sejak dua menjak ni hatinya mudah terharu dan sebak.

"Dah..dah...jangan nak touching-touching..Nanti berjangkit kat ana pulak. Oke, ana nak mandi dulu." Khalid mencapai tualanya lalu bergegas ke bilik air.

Hanzalah tersenyum. Khalid dari dulu sampai sekarang tak berubah. Masih dia ingat masa kem ukhwah anjuran persatuan Islam, Khalid akan menghilangkan dirinya bila melibatkan 'touching-touching' ni.

Alih-alih dia jumpa Khalid menangis seorang diri di bilik air. Selepas itulah mereka menjadi rapat. Dalam hati ada taman rupanya si Khalid ni. Hanzalah jadi tersenyum mengenangkan saat itu.

Sesampainya di pintu bilik air, Khalid menyapu matanya yang sedikit berair dengan menggunakan hujung lengan bajunya.

"Hanz, aku pun beruntung punya sahabat sepertimu. Semoga Allah mempermudahkan urusanmu, sahabatku." luah Khalid di dalam hati. Pintu bilik air ditutup.

bersambung....


Cerpan : Abu Hanzalah [5]


Bahagian 5

Jantung Hanzalah berdegup rancak selepas mendapat panggilan daripada mak teh. Khabar yang diberitakan oleh mak teh benar-benar menggugah emosinya.

Segala perasaannya bercampur baur tak tentu hala. Yang pasti dia harus pulang segera ke kampung sebelum semuanya terlambat.

Khalid menawarkan diri untuk menemani Hanzalah bersama kereta saganya yang lama pulang ke kampung. Hanzalah mengikut saja kerana otaknya tidak dapat memfokus apa-apa.

Perjalanan dari Pahang ke kampungnya yang berada di Kelantan dirasakan begitu lama. Sekali lagi nafasnya bagai turun naik tatkala kereta yang dipandu oleh Khalid berhenti betul-betul dihadapan rumahnya. Kelihatan ramai orang berada disekeliling rumahnya.

Hanzalah masih terpegun di dalam kereta. Dan dia tersedar bila bahunya disentuh oleh Khalid. Hanzalah memalingkan mukanya ke arah Khalid memohon pengertian daripada sahabatnya itu.

Khalid amat faham perasaan Hanzalah. Dengan langkah lesu Hanzalah menapak keluar dari perut kereta dan kakinya melangkah menuju ke pintu rumah. Dia menyalami tangan pak teh.

Riak muka pak teh jelas kelihatan resah bagai ada sesuatu yang sudah berlaku. Hanzalah jadi kelu untuk bertanya bagaimana keadaan kakaknya.

"Hanzalah, cepat nak.. Kak Nusaibah nak jumpa kamu." ada nada sedih di sebalik kata-kata mak teh. Tubir matanya ada kesan air mata.

Tanpa membuang masa, Hanzalah segera menapak ke bilik kakaknya. Beberapa wanita yang berada di ruangan itu memberi laluan pada Hanzalah.

"Kak.. " Hanzalah menggenggam erat tangan kakaknya. Melihat keadaan kakaknya membuat hatinya berasa luluh.

"Kak, Hanzalah datang kak.. Hanzalah minta maaf kak. Hanzalah dah banyak berdosa pada akak. Maafkan Hanzalah kak.. " Genggaman ditangannya semakin erat. Nusaibah tersenyum.

"Akak..jangan tinggalkan Hanzalah. Hanzalah tak ada siapa-siapa lagi selain daripada akak. Hanzalah dah berubah kak. " Air mata lelakinya yang ditahan dari tadi mengalir laju. Mak Teh tidak tahan melihat semua itu, lalu dia beredar meninggalkan dua beradik tersebut.

"Hanzalah .. " Nusaibah bersuara dengan perlahan dan sangat lemah. Tangannya digagahi untuk menyentuh muka adiknya. Hanzalah yang seakan faham akan tindakan kakaknya, pantas menarik tangan kakaknya ke arah mukanya.

"Jangan menangis, dik." Air mata Hanzalah disapunya perlahan.

"Akak sayang Hanzalah. Hanzalah bukan seorang diri di dunia ini. Ingat.. Hanzalah ada.. ada Allah.. " ujar Nusaibah bersambung-sambung.

"Hanzalah, sebelum akak pergi, bolehkah Hanzalah mencium dahi akak buat kali terakhir." pinta Nusaibah dengan nada yang amat sayu. Ya, sepanjang dia hidup dengan kakaknya belum pernah dia mengasihi kakaknya selayaknya. Hanzalah menurut permintaan kakaknya. Nusaibah memejamkan matanya. Air matanya mengalir membasahi pipi.

Nafasnya tiba-tiba terasa bagai disekat. Dadanya terasa sesak. Hanzalah jadi bingung sebentar melihat keadaan kakaknya yang seperti kelelahan. 'Allah, adakah masanya sudah tiba' terpacul persoalan itu di dalam benak hati Hanzalah. Genggaman kakaknya semakin kejap seakan meminta pertolongan daripadanya. Fahamlah dia, saatnya sudah tiba.

Hanzalah mendekatkan bibirnya di telinga Nusaibah lalu kalimah syahadah diujarnya perlahan satu persatu diikuti kakaknya. Usai menyebut kalimah tersebut, kelihatan mata kakaknya terpejam semakin lama semakin rapat dan... Hanzalah mengakui kakaknya sudah pergi buat selama-lamanya..

bersambung....

Cerpan : Abu Hanzalah [4]


Bahagian 4

Khalid merebahkan badannya ke atas katil. Satu keluhan yang terbit dari bibirnya membuatkan Hanzalah berpaling ke arahnya.

"Aii, enta mengeluh Khalid?" soal Hanzalah hairan. Setahunya sahabatnya ini jarang benar mengeluh. Mesti ada sesuatu yang sangat berat dihadapi oleh sahabatnya itu.

"Entahlah Hanzalah. Ana macam dah give upla." ujar Khalid lesu.

"Ni mesti pasal junior yang enta handle tu kan? Apa namanya Hai..Hair.."

"Hairi." Khalid menyambung.

"Ana tak tahu dah nak buat macamana dengan budak tu. Dia degil sangat Hanz." Khalid meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

"Enta trylah cuba method lain pula. Mana tahu, dapat ikat hati dia." cadang Hanzalah.

"Dah bermacam cara ana buat tapi hasilnya tetap sama. Ana rasa hati budak tu sudah gelap. Susah nak menerima tarbiyyah." ujar Khalid kecewa.

Hanzalah terdiam sejenak tatkala mendengar kata-kata Khalid. Dia mengimbau kembali memori lama. Rentetan-rentetan yang menjadikannya seperti sekarang mengetuk kotak memorinya.

Masih jelas di ingatannya, betapa susahnya senior-seniornya memikat hatinya untuk turut serta dalam usrah dan majlis perkongsian ilmu. Sehinggakan hanya tinggal seorang senior saja yang masih bertahan mendekati dan terus mendekatinya. Senior itulah yang berjaya melembutkan hatinya dengan izin Allah.

"Hanz.. Hanz.." Khalid menyentuh tangan sahabatnya selepas panggilannya tidak didengari oleh Hanzalah. Lamunan Hanzalah terhenti.

"Khalid, ana rasa enta terlupa sesuatu tentang ana." Hanzalah tersenyum. Khalid jadi hairan.

Dia berfikir sejenak, kemudia dia dapat menangkap maksud kata-kata Hanzalah. Riak mukanya tiba-tiba berubah.

"Hanz..maafkan ana. Ana tak bermaksud untuk.. "

"Khalid..tak perlulah enta nak minta maaf dengan ana. Ana tak terasa pun. Cuma ana mahu kita luaskan pemikiran kita."

"Maksud enta?"

"Kalaulah dulu semua senior tinggalkan budak yang bernama Abu Hanzalah, enta takkan dapat bersama dengan dia seperti sekarang. Kalaulah budak Hanzalah yang hatinya sudah gelap itu tak diberi peluang oleh senior-senior itu, sudah pasti dia tidak kenal tarbiyyah. Dan mungkin dia sekarang sedang seronok bermain-main tanpa tahu matlamat hidupnya yang sebenar."

Khalid tahu siapa 'Abu Hanzalah' yang dimaksudkan oleh Hanzalah. Siapa lagi kalau bukan sahabatnya yang berada di hadapannya sekarang.

"Khalid, tarbiyyah itu bukan untuk hati orang yang cerah saja. Tetapi tarbiyyah itu sentiasa ada untuk orang-orang yang diberi peluang. Setiap orang memerlukan tarbiyyah dan enta sekarang pun sebenarnya sedang ditarbiyyah Allah. Allah menguji enta dengan mad'u seperti Hairi. Enta tidak boleh berputus asa." sambung Hanzalah.

Khalid beristighfar di dalam hati. Dia memohon ampun atas kata-katanya sebentar tadi. Kata-kata Hanzalah sangat benar. Dia masih ingat yang dulu Hanzalah lagi nakal dan keras kepala dari Hairi tetapi hati itu berjaya juga dilembutkan. Semuanya dengan izin Allah.

"Khalid, ana bukanlah sesiapa untuk menasihati enta. Enta jauh lebih baik dari ana. Ana pernah terjerat dalam kisah silam yang penuh debu. Sampai sekarang kisah silam itu sentiasa menghambat hidup ana. Ana tak mahu Hairi tidak berkesempatan untuk merasai manisnya tarbiyyah seperti yang kita rasakan sekarang." ujar Hanzalah. Ada nada sedih di hujung kata-katanya.

Khalid mendapatkan Hanzalah lalu memeluk erat sahabatnya. Hanzalah menepuk-nepuk perlahan belakang sahabatnya. "Terima kasih.. Enta sudah menyedarkan ana. Ana khilaf.." ujar Khalid.

bersambung....


Cerpan : Abu Hanzalah [3]


Bahagian 3

Batuk Nusaibah menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Dia masih berusaha memujuk adiknya untuk menerima tawaran tersebut. Dia tidak mahu adiknya bercampur dengan budak-budak nakal di kampung itu.

"Koh..Koh..Kohhhh..Koohhhh..ehemmm.eheemm" dari tadi lagi Nusaibah tidak berhenti batuk. Sekali-sekala dia berdehem untuk meleraikan rasa kurang selesa di bahagian anak tekaknya.

"Akak, bisinglah! Kalau nak batuk, boleh tak batuk dalam bilik?! Sakit telinga saya ni. Silap-silap hari bulan tuli telinga saya ni 24 jam duk dengar akak batuk." Hanzalah meninggikan suara pada kakaknya. Dia sudah lupa dengan siapa dia bercakap. Langsung tidak dihormati kakaknya.

Nusaibah berganjak masuk ke dalam bilik. Tidak mahu batuknya itu mengganggu adiknya.

"Haaa.. Macam tu kan bagus!." dengus Hanzalah.

Selang beberapa minit, Hanzalah memanggil kakaknya. Dia menyuruh kakaknya mengambil air untuknya.

"Assalamualaikum.." kedengaran ada orang memberi salam dari luar rumah.

"Waalaikumussalam." ujar Nusaibah sambil tangannya membuka daun pintu.

"Eh, pak teh, mak teh.. Naiklah." Nusaibah menjemput mereka masuk dan bersalaman. Hanzalah menjeling sekilas. Langsung tiada hormat pada bapa dan mak saudaranya. Nusaibah mengatur langkah ke dapur untuk membuat air.

"Nusaibah, tak usahla ke dapur. Pak Teh dan mak teh dah minum dah tadi. Ni pun kami singgah sekejap je ni. " Nusaibah tidak jadi ke dapur.

"Hanzalah, Pak Teh nak cakap sikit dengan kamu. Ikut Pak Teh sebentar, kita cakap kat luar." ujar Pak Teh.

Hanzalah melangkah malas. 'Ish, apalah pula dengan orang tua ni. Tak boleh ke cakap kat situ je. Nak kena keluar pula!' rungut Hanzalah.

Sementara itu, Nusaibah berbual dengan Mak Teh. Sudah lama mereka tidak berbual bersama. Sekali-sekala dia terbatuk. Sekejap-sekejap dia mencuri pandang ke arah perbualan Pak Teh dengan adiknya. 'Ya Allah, lembutkanlah hati adikku.' doa Nusaibah dalam hati.

~~~~

Nusaibah melipat pakaian Hanzalah untuk di masukkan ke dalam beg. Dalam hati dia bersyukur kerana Pak Teh berjaya memujuk adiknya untuk pergi menyambung pelajarannya. Dalam erti kata lain Pak Tehnya berhasil memaksa adiknya yang degil itu ke sana.

"Hanzalah.." panggil Nusaibah perlahan.

Hanzalah merenung kakaknya yang sibuk mengemas pakaiannya.

"Apa lagi ni kak?" soal Hanzalah kasar.

"Hanzalah adalah satu-satunya harapan kakak. Kakak mahu lihat Hanzalah berjaya. Bukan saja menggenggam ijazah, tetapi kakak mahu lihat adik kakak ni menjadi seorang pejuang risalah Allah." sambung Nusaibah. Kemudian dia terbatuk lagi.

"Heh.. akak, saya ni nak pergi belajar la kak. Bukannya nak pergi berperang macam Hanzalah yang dalam cerita akak tu! Entah apa-apa.. !" rengus Hanzalah.

"Oh, Hanzalah masih ingat ya cerita tu. Tapi sambungannya akak belum habiskan. Hanzalah nak dengar?" soal Nusaibah lembut. Langsung tiada riak marah di mukanya walaupun adiknya berkasar dengannya.

Tanpa melihat ke arah kakaknya, Hanzalah menggelengkan kepala. "Akak, saya pergi ni pun sebab Pak Teh yang paksa saya. Kalau tidak saya takkan pergi. " ujar Hanzalah.

"Pak Teh mahu yang terbaik buat kamu dik."

"Huh, entah-entah ada udang disebalik batu. Bukannya boleh percaya sangat Pak Teh tu." Hanzalah bersangka buruk.

"Hanzalah! Kenapa cakap macam tu? Tak elok bersangka buruk kat orang lain." Nusaibah meninggikan sedikit suara tapi masih kedengaran lembut.

"Akak dan Pak Teh sama je! Sengaja nak halau saya dari rumah kan? Sebab saya ni menyusahkan kakak kan?!" ujar Hanzalah semberono.

"MasyaAllah dik.. Tak pernah terlintas pun di hati kakak tentang tu." ujar Nusaibah perlahan. Dia cuba menahan air matanya dari gugur di depan adiknya.

"Ah.. semua orang sama je!" Hanzalah melerakkan pakaian di atas lantai yang dilipat oleh kakaknya. Dia melangkah kakinya keluar dari rumah.

Nusaibah terkedu dengan kelakuan adiknya. Dia berasa amat kasihan dengan Hanzalah. Hanzalah seperti remaja lain yang perlukan belaian manja dan kasih sayang dari seorang ayah.

Dia mengumpul dan melipat semula pakaian yang diselerakkan oleh Hanzalah tadi. Air matanya mula gugur.. 'Aku yakin cahaya itu ada tersimpan untuknya' luah Nusaibah dalam hati.

bersambung....

Cerpan : Abu Hanzalah [2]


Bahagian 2
[1][2]

"..Maka terjadilah pertempuran hebat sehingga banyak dari pihak Islam yang gugur syahid. Pihak musuh telah menyerang dari belakang. Akhirnya Hanzalah turut menjadi korban dalam keadaan sedang junub. Maka Rasulullah SAW pun melihat mayat Hanzalah dimandikan oleh para malaikat seperti mana dalam sabdanya: “Aku melihat diantara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air dari awan di dalam bejana perak..” Ustaz Rifqi menghela nafasnya. Kemudian dia menyambung lagi.

"Para sahabat tercengang-cengang mendengar ini. Salah seorang dari mereka, Abu Said Saidi lalu pergi melihat mayat Hanzalah. Wajah Hanzalah kelihatan tenang. Dari rambutnya kelihatan titisan air berlinangan turun. Sungguh beruntung Hanzalah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat. Subhanallah, tidak pernah terjadi dalam sejarah seorang syahid dimandikan dengan cara yang luarbiasa ini. Malahan matinya sebagai syuhada menjadikan ia sebagai penghuni syurga tanpa dihisab. " Ustaz Rifqi menamatkan ceritanya.

Ya, inilah sambungan cerita Abu Hanzalah yang belum sempat diceritakan oleh kakaknya kepadanya. Dia beruntung selepas dia memasuki sebuah institusi pengajian dia mengikuti usrah dengan Ustaz Rifqi.

Pada mulanya dia tidak begitu mengenali apa itu usrah, namun hatinya tertaut dengan usrah apabila hubungan baik yang diberikan oleh senior-seniornya yang selalu mengambil berat perihal dirinya. Semuanya kuasa Allah kerana Dia yang memegang hati-hati ini.

"Hanzalah.. " tegur satu suara dari arah belakang. Hanzalah berpaling ke arah suara itu.

"Eh, Ustaz. Asif, ana tak perasan tadi." ujar Hanzalah serba salah.

"Ustaz tengok enta ni banyak termenung. Enta ada masalah?" ujar Ustaz Rifqi cuba menyelami isi hati anak usrahnya.

"Eh, tak adalah ustaz. Ana baik-baik je. InsyaAllah.."

"Ke enta nak kahwin?" sengaja Ustaz melontarkan pertanyaan itu. Untuk memancing perbualan anak muda di depannya.

Hanzalah tercengang. Tidak pernah dia terfikir ke arah tu sedang umurnya masih jagung. Belum puas berada dalam medan perjuangan.

"Ustaz ni ke situ pulak. Ana masih mudalah ustaz. Belum masanya ana berfikir tentang itu." Hanzalah ketawa kecil. Dia tahu Ustaz hanya berseloroh dengannya.

"Muda apanya, masa Ustaz kahwin dulu umur sebaya entalah."

Hanzalah tersenyum. 'Ustaz memang orang yang layak untuk berkahwin. Tapi aku.. Apa yang aku boleh berikan untuk bakal isteriku nanti sedang aku pun masih belajar bertatih.' luah Hanzalah di dalam hati.

~~~~

"Hanzalah tak mahu pergi!"

Nusaibah terkedu dengan keputusan Hanzalah. Apabila Hanzalah mendapat surat tawaran ke IPTA, Nusaibahlah orang yang paling gembira. Dia mengharapkan sesuatu dengan pemergian adiknya ke sana.

Dia berharap agar Hanzalah menjadi manusia yang di dalam hatinya dipenuhi dengan cinta Allah dan Rasul. Kerana dia tidak mampu untuk mendidik adiknya dengan sempurna.

"Kenapa adik tak mahu pergi?" Nusaibah menyoal lembut.

"Kak! Kita ni orang miskin. Mana kita nak cedok duit buat belanja saya belajar. Ada ayah pun tak guna!"

"Hanzalah!!" Nusaibah meninggikan suaranya. Kemudian dia terbatuk-batuk kecil.

"Jangan cakap macam tu dik. Walau macamana pun dia, dia tetap ayah kita." Nusaibah menggosok-gosok lehernya. Kerongkongnya terasa pedih.

"Ayah apa macam tu! Buat mak menderita sampai mati dan biarkan kita terkontang-kanting kat sini..Itu yang dikatakan ayah! Boleh blah lah. Aku takkan pernah ada ayah yang macam tu!" Hanzalah menumbuk dinding. Air matanya tumpah. Geram bila memikirkan tentang ayahnya.

Dia menapak keluar dari rumah.

"Hanzalah nak ke mana tu? Hanzalah.. Hanzalah... " Panggilan Nusaibah tidak diendahkan oleh adiknya. Air mata yang disimpan tumpah juga.

Dia tahu dia tidak boleh salahkan Hanzalah jika membenci ayah mereka. Hanzalah selayaknya mendapat kasih sayang seorang ayah.

bersambung....

Cerpan : Abu Hanzalah [1]


Bahagian 1

"Hanzalah, mari kita solat berjemaah sama-sama." ujar Nusaibah yang sudah lengkap berpakaian solat.

"Eh, akak ni pehal pulak tetiba ajak saya solat berjemaah ni! Akak solat sorang jelah. Saya sibuk ni, kejar masa!" Hanzalah melontarkan alasan.

"Hanzalah tahu tak yang solat berjemaah tu pahala.. "

"Oke kak..saya tahu. Pahala orang yang solat berjemaah itu 27 kali ganda daripada solat seorang diri. Berapa kali akak nak cakap benda yang sama ni. Baik akak pi solat cepat. Tak baik melambatkan waktu solat." belum sempat Nusaibah menghabiskan ayatnya, Hanzalah memotong.

'Alhamdulillah, at least dia masih ingat kata-kata aku sebelum ni. Ya Allah, bukakanlah pintu hatinya.' bisik hati Nusaibah. Sebagai seorang kakak, dia terlalu ingin mendidik adiknya menjadi muslim yang mukmin.

Dia ingin yang terbaik buat adiknya, namun hati adiknya terlalu keras. Terkadang dia merasa putus asa, namun dia percaya suatu hari nanti Allah pasti memakbulkan doanya.

Tubir mata Hanzalah berair tatkala mengenangkan Nusaibah. Terlalu banyak dosa pada kakaknya itu. Kata-kata nasihat yang keluar daripada bibir kakaknya bagaikan mencurah air di atas daun keladi, dipandang nasihat itu acuh tak acuh.

Sehinggalah suatu hari dia ditawarkan ke satu pusat pengajian awam. Di situlah segala-galanya bermula. Di situlah dia mula mengerti soal tarbiyyah dan memahami ajaran Islam.

"Hanzalah, enta menangis?" tegur Khalid yang menyedari perubahan air muka Hanzalah. Hanzalah cuba mengawal emosi. Dia tidak mahu sahabatnya tahu gelodak perasaan yang bersarang di hatinya.

"Eh, tak lah. Mata ana ni dari tadi lagi berair. Masuk habuk barangkali. Pedih juga." Hanzalah berseloroh untuk menutupi perasaan hatinya. Ya, perasaan tu amat pedih!

"Aii, pakai cermin mata pun masuk habuk juga ke? hehe."  Khalid cuba berjenaka. Sengaja untuk menghiburkan hati sahabatnya. Bukan dia tidak tahu bahawa Hanzalah sedang bersedih. Garis-garis kesedihan dapat dikesan oleh Khalid. Hanzalah hanya tersenyum.

"Ye la Muhammad Khalid. Ingat orang pakai cermin mata habuk tak masuk ke?" Hanzalah membalas. Sekadar untuk menutup perasaannya.

"Iyelah, kan ada dua protection kat depan mata tu. Jadi kemungkinan habuk tu nak masuk susah la kan?" Khalid masih tak mahu mengalah. Entah, dia rasakan tiada modal lain untuk mengalih perhatian sahabat karibnya itu untuk melupakan sebentar masalah yang ada.

"Ni mesti teori enta cipta sendiri nie. Eh, dah lewat petang ni, jomlah pulang."

"A'ah. Dah petang rupanya. Tak habis lagi ni hirup pemandangan damai kat sini. Nanti enta bawak la lagi ana ke sini ye." ujar Khalid sambil tersengih-sengih.

~~~~

"Hanzalah nak dengar tak satu kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah dahulu?  Di zaman Rasulullah s.a.w dulu ada seorang sahabat yang namanya Abu Hanzalah. Beliau juga merupakan jurutulis Rasulullah s.a.w. Semasa peperangan Uhud berlaku, beliau telah dikecualikan oleh Rasulullah s.a.w untuk turun bersama ke medan perang kerana beliau baru saja menikah." Nusaibah mengambil nafas dan meneruskan ceritanya.

"..Namun sewaktu Hanzalah terjaga dari tidurnya,beliau mendengar gendang perang dibunyikan begitu kuat sekali. Beliau mendapat berita melalui seorang sahabat bahawa tentera islam mendapat tentangan yang sangat hebat dan keadaan menjadi terlalu genting. Tanpa membuang masa, Hanzalah memakai pakaian perang lalu mengambil pedangnya. Dia menuju ke medan perang tanpa sempat pun mandi junub." Nusaibah terbatuk-batuk. Batuknya menghalang dirinya untuk meneruskan cerita tersebut.

Hanzalah dari tadi diam mendengar cerita yang disampaikan oleh kakaknya. Kemudian dia berkata," Macam menarik juga cerita ni. Tapi kak, nama saya sama dengan orang yang dalam cerita tu. Ish, kalau saya, saya tak sanggup kot nak pergi sebab baru je menikah dah nak berperang. Peliklah Hanzalah dalam cerita ni." ujar Hanzalah. Dia akui dia tertarik dengan cerita kakaknya kerana namanya sama dengan pemuda tersebut.

"Akak belum habis cerita lagi. Abu Hanzalah tak pelik, tapi beliau memahami erti perjuangan yang sebenar. Beliau mencintai Allah melebihi segalanya dan syahid cita-citanya."ujar Nusaibah dengan nada yang agak perlahan.

"Erm, tak habis lagi ke kak? Err..xpela kak. Akak sambung lain kali je la. Saya nak keluar dengan kawan ni." Hanzalah membelek-belek jam di tangannya. Sekali lagi Nusaibah tersenyum. Baginya jika adiknya mahu mendengar itu sudah cukup. Seutas doa dibisikkan ke dalam hati buat adiknya.

bersambung.....