Laman ini diwujudkan khas untuk berkongsi karya-karya dari Musafir Cinta Ilahi dan sahabat-sahabat blogger buat tatapan semua. Semoga kisah-kisah yang dimuatkan memberi manfaat dan mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT. Selamat membaca. (:

Friday, 28 September 2012

Cerpan : Abu Hanzalah [5]


Bahagian 5

Jantung Hanzalah berdegup rancak selepas mendapat panggilan daripada mak teh. Khabar yang diberitakan oleh mak teh benar-benar menggugah emosinya.

Segala perasaannya bercampur baur tak tentu hala. Yang pasti dia harus pulang segera ke kampung sebelum semuanya terlambat.

Khalid menawarkan diri untuk menemani Hanzalah bersama kereta saganya yang lama pulang ke kampung. Hanzalah mengikut saja kerana otaknya tidak dapat memfokus apa-apa.

Perjalanan dari Pahang ke kampungnya yang berada di Kelantan dirasakan begitu lama. Sekali lagi nafasnya bagai turun naik tatkala kereta yang dipandu oleh Khalid berhenti betul-betul dihadapan rumahnya. Kelihatan ramai orang berada disekeliling rumahnya.

Hanzalah masih terpegun di dalam kereta. Dan dia tersedar bila bahunya disentuh oleh Khalid. Hanzalah memalingkan mukanya ke arah Khalid memohon pengertian daripada sahabatnya itu.

Khalid amat faham perasaan Hanzalah. Dengan langkah lesu Hanzalah menapak keluar dari perut kereta dan kakinya melangkah menuju ke pintu rumah. Dia menyalami tangan pak teh.

Riak muka pak teh jelas kelihatan resah bagai ada sesuatu yang sudah berlaku. Hanzalah jadi kelu untuk bertanya bagaimana keadaan kakaknya.

"Hanzalah, cepat nak.. Kak Nusaibah nak jumpa kamu." ada nada sedih di sebalik kata-kata mak teh. Tubir matanya ada kesan air mata.

Tanpa membuang masa, Hanzalah segera menapak ke bilik kakaknya. Beberapa wanita yang berada di ruangan itu memberi laluan pada Hanzalah.

"Kak.. " Hanzalah menggenggam erat tangan kakaknya. Melihat keadaan kakaknya membuat hatinya berasa luluh.

"Kak, Hanzalah datang kak.. Hanzalah minta maaf kak. Hanzalah dah banyak berdosa pada akak. Maafkan Hanzalah kak.. " Genggaman ditangannya semakin erat. Nusaibah tersenyum.

"Akak..jangan tinggalkan Hanzalah. Hanzalah tak ada siapa-siapa lagi selain daripada akak. Hanzalah dah berubah kak. " Air mata lelakinya yang ditahan dari tadi mengalir laju. Mak Teh tidak tahan melihat semua itu, lalu dia beredar meninggalkan dua beradik tersebut.

"Hanzalah .. " Nusaibah bersuara dengan perlahan dan sangat lemah. Tangannya digagahi untuk menyentuh muka adiknya. Hanzalah yang seakan faham akan tindakan kakaknya, pantas menarik tangan kakaknya ke arah mukanya.

"Jangan menangis, dik." Air mata Hanzalah disapunya perlahan.

"Akak sayang Hanzalah. Hanzalah bukan seorang diri di dunia ini. Ingat.. Hanzalah ada.. ada Allah.. " ujar Nusaibah bersambung-sambung.

"Hanzalah, sebelum akak pergi, bolehkah Hanzalah mencium dahi akak buat kali terakhir." pinta Nusaibah dengan nada yang amat sayu. Ya, sepanjang dia hidup dengan kakaknya belum pernah dia mengasihi kakaknya selayaknya. Hanzalah menurut permintaan kakaknya. Nusaibah memejamkan matanya. Air matanya mengalir membasahi pipi.

Nafasnya tiba-tiba terasa bagai disekat. Dadanya terasa sesak. Hanzalah jadi bingung sebentar melihat keadaan kakaknya yang seperti kelelahan. 'Allah, adakah masanya sudah tiba' terpacul persoalan itu di dalam benak hati Hanzalah. Genggaman kakaknya semakin kejap seakan meminta pertolongan daripadanya. Fahamlah dia, saatnya sudah tiba.

Hanzalah mendekatkan bibirnya di telinga Nusaibah lalu kalimah syahadah diujarnya perlahan satu persatu diikuti kakaknya. Usai menyebut kalimah tersebut, kelihatan mata kakaknya terpejam semakin lama semakin rapat dan... Hanzalah mengakui kakaknya sudah pergi buat selama-lamanya..

bersambung....

No comments:

Post a Comment