Laman ini diwujudkan khas untuk berkongsi karya-karya dari Musafir Cinta Ilahi dan sahabat-sahabat blogger buat tatapan semua. Semoga kisah-kisah yang dimuatkan memberi manfaat dan mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT. Selamat membaca. (:

Friday 28 September 2012

Cerpan : Abu Hanzalah [6]


Bahagian 6

Hanzalah mengesat tubir matanya yang basah. Ditangannya terdapat satu sampul surat yang agak lama. Dia membuka kembali isi surat yang ditinggalkan arwah kakaknya. Setiap kali dia teringat akan kakaknya, pasti surat itu dibaca.

Assalamualaikum adikku Abu Hanzalah yang tersayang..

Semoga adik sentiasa dalam limpahan rahmat dan kasih sayangNya. Pastinya, ketika adik membaca surat ini bermakna kakak sudah tiada di sisi adik lagi. Bermakna akak sudah dijemput oleh kekasih yang Maha Esa. Jadi usahlah adik bersedih hati, kerana perpisahan kita hanya sementara.


Wahai adikku permata agama,

Kakak selalu mengimpikan kita bersama-sama dalam perjuangan ini,
Tetapi dahulu adik tidak mengerti hasrat kakak..
Yang mampu akak buat hanyalah berdoa dan terus berdoa agar Allah lembutkan hati adik..
Dan kakak pasakkan di hati akak bahawa suatu hari nanti adik akan menjadi seseorang..
Seseorang yang akan meneruskan perjuangan ini. 

Adikku Abu Hanzalah,

Masihkah adik ingat tentang cerita Abu Hanzalah yang turun menyahut medan jihad sebelum sempat mandi junub? Maafkan kakak dik.. Kerana tidak sempat menghabiskan cerita ini sebelum adik pergi belajar. Tetapi kakak yakin, adik akan hadam kisah Abu Hanzalah ni pada suatu masa nanti. Titiplah semangat 'Abu Hanzalah' dalam dirimu dik.. 

Wahai permata hati kakak,

Hanya satu permintaan kakak yang terakhir. Adik maafkanlah ayah. Walau apa pun dia buat, dia tetap ayah kita. Adik tidak dapat menafikan hak dia sebagai seorang ayah. Adik carilah ayah di alamat yang kakak tinggalkan bersama surat ini. Sudah sampai masanya adik menunaikan hak seorang anak ke atas seorang ayah. Bagilah peluang kepada dia.

Adikku sayang,

Terakhir kalinya, akak memohon maaf kerana selama ini merahsiakan penyakit ini. Ini kerana akak tidak mahu Hanzalah risau. Akhir kata, doakanlah kakak aman disana. Semoga Hanzalah menjadi mujahid unggul yang mana syahid diangkat sebagai cita-cita. Akak terlalu menyanyangimu Hanzalah. 

Salam terakhir sayang dan kasih daripada kakakmu,

Nusaibah
-Hidup adalah perjuangan !-

~~~~

"Khalid, enta free tak petang ni?" soal Hanzalah.

Khalid memuncungkan mulutnya seakan-akan berfikir sesuatu. Kepalanya dipalingkan ke arah Hanzalah.

"InsyaAllah, free. Kenapa? Enta nak belanja ana makan ke?" seloroh Khalid.

"Ish, enta ni.. bab makan nombor satu. Bukanlah. " ujar Hanzalah. Khalid tersengih menampakkan giginya yang putih

 "Emm, ana nak minta tolong sikit." ujar Hanzalah dengan nada serius.

"Apa dia?" mata Khalid memandang tepat pada muka Hanzalah.

Menunggu buti-butir kata daripada sahabatnya. Hanzalah menunduk. Lama. Khalid dengan sabar menunggu apa yang mahu diperkatakan oleh sahabatnya itu. Hanzalah mengangkat mukanya. Matanya merah.

"Ayah ana sakit. Ana nak jumpa dia. Rasanya sudah masanya ana membuang segala ego didada. Ana rasa sangat berdosa Khalid. Tapi ana tak ade kekuatan untuk jumpa dia." ujar Hanzalah dengan nada yang agak sayu.

Khalid mendapatkan Hanzalah. Bahu sahabatnya ditepuk-tepuk perlahan.

"Hanz, baguslah kalau macam tu. Eloklah enta jumpa dengan dia sebelum terlambat. Nanti ana temankan enta ke sana. Naik kereta ana ok." ujar Khalid tenang. Hanzalah memandang wajah sahabatnya. Dia sangat bersyukur Allah telah menganugerahkan seorang sahabat yang sangat memahami dan baik hati seperti Khalid.

"Khalid, entalah sahabat ana dunia dan akhirat. Ana sangat bersyukur pada Allah kerana beri enta pada ana. Ana sayang enta kerana Allah. " luah Hanzalah ikhlas. Entah kenapa sejak dua menjak ni hatinya mudah terharu dan sebak.

"Dah..dah...jangan nak touching-touching..Nanti berjangkit kat ana pulak. Oke, ana nak mandi dulu." Khalid mencapai tualanya lalu bergegas ke bilik air.

Hanzalah tersenyum. Khalid dari dulu sampai sekarang tak berubah. Masih dia ingat masa kem ukhwah anjuran persatuan Islam, Khalid akan menghilangkan dirinya bila melibatkan 'touching-touching' ni.

Alih-alih dia jumpa Khalid menangis seorang diri di bilik air. Selepas itulah mereka menjadi rapat. Dalam hati ada taman rupanya si Khalid ni. Hanzalah jadi tersenyum mengenangkan saat itu.

Sesampainya di pintu bilik air, Khalid menyapu matanya yang sedikit berair dengan menggunakan hujung lengan bajunya.

"Hanz, aku pun beruntung punya sahabat sepertimu. Semoga Allah mempermudahkan urusanmu, sahabatku." luah Khalid di dalam hati. Pintu bilik air ditutup.

bersambung....


Cerpan : Abu Hanzalah [5]


Bahagian 5

Jantung Hanzalah berdegup rancak selepas mendapat panggilan daripada mak teh. Khabar yang diberitakan oleh mak teh benar-benar menggugah emosinya.

Segala perasaannya bercampur baur tak tentu hala. Yang pasti dia harus pulang segera ke kampung sebelum semuanya terlambat.

Khalid menawarkan diri untuk menemani Hanzalah bersama kereta saganya yang lama pulang ke kampung. Hanzalah mengikut saja kerana otaknya tidak dapat memfokus apa-apa.

Perjalanan dari Pahang ke kampungnya yang berada di Kelantan dirasakan begitu lama. Sekali lagi nafasnya bagai turun naik tatkala kereta yang dipandu oleh Khalid berhenti betul-betul dihadapan rumahnya. Kelihatan ramai orang berada disekeliling rumahnya.

Hanzalah masih terpegun di dalam kereta. Dan dia tersedar bila bahunya disentuh oleh Khalid. Hanzalah memalingkan mukanya ke arah Khalid memohon pengertian daripada sahabatnya itu.

Khalid amat faham perasaan Hanzalah. Dengan langkah lesu Hanzalah menapak keluar dari perut kereta dan kakinya melangkah menuju ke pintu rumah. Dia menyalami tangan pak teh.

Riak muka pak teh jelas kelihatan resah bagai ada sesuatu yang sudah berlaku. Hanzalah jadi kelu untuk bertanya bagaimana keadaan kakaknya.

"Hanzalah, cepat nak.. Kak Nusaibah nak jumpa kamu." ada nada sedih di sebalik kata-kata mak teh. Tubir matanya ada kesan air mata.

Tanpa membuang masa, Hanzalah segera menapak ke bilik kakaknya. Beberapa wanita yang berada di ruangan itu memberi laluan pada Hanzalah.

"Kak.. " Hanzalah menggenggam erat tangan kakaknya. Melihat keadaan kakaknya membuat hatinya berasa luluh.

"Kak, Hanzalah datang kak.. Hanzalah minta maaf kak. Hanzalah dah banyak berdosa pada akak. Maafkan Hanzalah kak.. " Genggaman ditangannya semakin erat. Nusaibah tersenyum.

"Akak..jangan tinggalkan Hanzalah. Hanzalah tak ada siapa-siapa lagi selain daripada akak. Hanzalah dah berubah kak. " Air mata lelakinya yang ditahan dari tadi mengalir laju. Mak Teh tidak tahan melihat semua itu, lalu dia beredar meninggalkan dua beradik tersebut.

"Hanzalah .. " Nusaibah bersuara dengan perlahan dan sangat lemah. Tangannya digagahi untuk menyentuh muka adiknya. Hanzalah yang seakan faham akan tindakan kakaknya, pantas menarik tangan kakaknya ke arah mukanya.

"Jangan menangis, dik." Air mata Hanzalah disapunya perlahan.

"Akak sayang Hanzalah. Hanzalah bukan seorang diri di dunia ini. Ingat.. Hanzalah ada.. ada Allah.. " ujar Nusaibah bersambung-sambung.

"Hanzalah, sebelum akak pergi, bolehkah Hanzalah mencium dahi akak buat kali terakhir." pinta Nusaibah dengan nada yang amat sayu. Ya, sepanjang dia hidup dengan kakaknya belum pernah dia mengasihi kakaknya selayaknya. Hanzalah menurut permintaan kakaknya. Nusaibah memejamkan matanya. Air matanya mengalir membasahi pipi.

Nafasnya tiba-tiba terasa bagai disekat. Dadanya terasa sesak. Hanzalah jadi bingung sebentar melihat keadaan kakaknya yang seperti kelelahan. 'Allah, adakah masanya sudah tiba' terpacul persoalan itu di dalam benak hati Hanzalah. Genggaman kakaknya semakin kejap seakan meminta pertolongan daripadanya. Fahamlah dia, saatnya sudah tiba.

Hanzalah mendekatkan bibirnya di telinga Nusaibah lalu kalimah syahadah diujarnya perlahan satu persatu diikuti kakaknya. Usai menyebut kalimah tersebut, kelihatan mata kakaknya terpejam semakin lama semakin rapat dan... Hanzalah mengakui kakaknya sudah pergi buat selama-lamanya..

bersambung....

Cerpan : Abu Hanzalah [4]


Bahagian 4

Khalid merebahkan badannya ke atas katil. Satu keluhan yang terbit dari bibirnya membuatkan Hanzalah berpaling ke arahnya.

"Aii, enta mengeluh Khalid?" soal Hanzalah hairan. Setahunya sahabatnya ini jarang benar mengeluh. Mesti ada sesuatu yang sangat berat dihadapi oleh sahabatnya itu.

"Entahlah Hanzalah. Ana macam dah give upla." ujar Khalid lesu.

"Ni mesti pasal junior yang enta handle tu kan? Apa namanya Hai..Hair.."

"Hairi." Khalid menyambung.

"Ana tak tahu dah nak buat macamana dengan budak tu. Dia degil sangat Hanz." Khalid meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

"Enta trylah cuba method lain pula. Mana tahu, dapat ikat hati dia." cadang Hanzalah.

"Dah bermacam cara ana buat tapi hasilnya tetap sama. Ana rasa hati budak tu sudah gelap. Susah nak menerima tarbiyyah." ujar Khalid kecewa.

Hanzalah terdiam sejenak tatkala mendengar kata-kata Khalid. Dia mengimbau kembali memori lama. Rentetan-rentetan yang menjadikannya seperti sekarang mengetuk kotak memorinya.

Masih jelas di ingatannya, betapa susahnya senior-seniornya memikat hatinya untuk turut serta dalam usrah dan majlis perkongsian ilmu. Sehinggakan hanya tinggal seorang senior saja yang masih bertahan mendekati dan terus mendekatinya. Senior itulah yang berjaya melembutkan hatinya dengan izin Allah.

"Hanz.. Hanz.." Khalid menyentuh tangan sahabatnya selepas panggilannya tidak didengari oleh Hanzalah. Lamunan Hanzalah terhenti.

"Khalid, ana rasa enta terlupa sesuatu tentang ana." Hanzalah tersenyum. Khalid jadi hairan.

Dia berfikir sejenak, kemudia dia dapat menangkap maksud kata-kata Hanzalah. Riak mukanya tiba-tiba berubah.

"Hanz..maafkan ana. Ana tak bermaksud untuk.. "

"Khalid..tak perlulah enta nak minta maaf dengan ana. Ana tak terasa pun. Cuma ana mahu kita luaskan pemikiran kita."

"Maksud enta?"

"Kalaulah dulu semua senior tinggalkan budak yang bernama Abu Hanzalah, enta takkan dapat bersama dengan dia seperti sekarang. Kalaulah budak Hanzalah yang hatinya sudah gelap itu tak diberi peluang oleh senior-senior itu, sudah pasti dia tidak kenal tarbiyyah. Dan mungkin dia sekarang sedang seronok bermain-main tanpa tahu matlamat hidupnya yang sebenar."

Khalid tahu siapa 'Abu Hanzalah' yang dimaksudkan oleh Hanzalah. Siapa lagi kalau bukan sahabatnya yang berada di hadapannya sekarang.

"Khalid, tarbiyyah itu bukan untuk hati orang yang cerah saja. Tetapi tarbiyyah itu sentiasa ada untuk orang-orang yang diberi peluang. Setiap orang memerlukan tarbiyyah dan enta sekarang pun sebenarnya sedang ditarbiyyah Allah. Allah menguji enta dengan mad'u seperti Hairi. Enta tidak boleh berputus asa." sambung Hanzalah.

Khalid beristighfar di dalam hati. Dia memohon ampun atas kata-katanya sebentar tadi. Kata-kata Hanzalah sangat benar. Dia masih ingat yang dulu Hanzalah lagi nakal dan keras kepala dari Hairi tetapi hati itu berjaya juga dilembutkan. Semuanya dengan izin Allah.

"Khalid, ana bukanlah sesiapa untuk menasihati enta. Enta jauh lebih baik dari ana. Ana pernah terjerat dalam kisah silam yang penuh debu. Sampai sekarang kisah silam itu sentiasa menghambat hidup ana. Ana tak mahu Hairi tidak berkesempatan untuk merasai manisnya tarbiyyah seperti yang kita rasakan sekarang." ujar Hanzalah. Ada nada sedih di hujung kata-katanya.

Khalid mendapatkan Hanzalah lalu memeluk erat sahabatnya. Hanzalah menepuk-nepuk perlahan belakang sahabatnya. "Terima kasih.. Enta sudah menyedarkan ana. Ana khilaf.." ujar Khalid.

bersambung....


Cerpan : Abu Hanzalah [3]


Bahagian 3

Batuk Nusaibah menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Dia masih berusaha memujuk adiknya untuk menerima tawaran tersebut. Dia tidak mahu adiknya bercampur dengan budak-budak nakal di kampung itu.

"Koh..Koh..Kohhhh..Koohhhh..ehemmm.eheemm" dari tadi lagi Nusaibah tidak berhenti batuk. Sekali-sekala dia berdehem untuk meleraikan rasa kurang selesa di bahagian anak tekaknya.

"Akak, bisinglah! Kalau nak batuk, boleh tak batuk dalam bilik?! Sakit telinga saya ni. Silap-silap hari bulan tuli telinga saya ni 24 jam duk dengar akak batuk." Hanzalah meninggikan suara pada kakaknya. Dia sudah lupa dengan siapa dia bercakap. Langsung tidak dihormati kakaknya.

Nusaibah berganjak masuk ke dalam bilik. Tidak mahu batuknya itu mengganggu adiknya.

"Haaa.. Macam tu kan bagus!." dengus Hanzalah.

Selang beberapa minit, Hanzalah memanggil kakaknya. Dia menyuruh kakaknya mengambil air untuknya.

"Assalamualaikum.." kedengaran ada orang memberi salam dari luar rumah.

"Waalaikumussalam." ujar Nusaibah sambil tangannya membuka daun pintu.

"Eh, pak teh, mak teh.. Naiklah." Nusaibah menjemput mereka masuk dan bersalaman. Hanzalah menjeling sekilas. Langsung tiada hormat pada bapa dan mak saudaranya. Nusaibah mengatur langkah ke dapur untuk membuat air.

"Nusaibah, tak usahla ke dapur. Pak Teh dan mak teh dah minum dah tadi. Ni pun kami singgah sekejap je ni. " Nusaibah tidak jadi ke dapur.

"Hanzalah, Pak Teh nak cakap sikit dengan kamu. Ikut Pak Teh sebentar, kita cakap kat luar." ujar Pak Teh.

Hanzalah melangkah malas. 'Ish, apalah pula dengan orang tua ni. Tak boleh ke cakap kat situ je. Nak kena keluar pula!' rungut Hanzalah.

Sementara itu, Nusaibah berbual dengan Mak Teh. Sudah lama mereka tidak berbual bersama. Sekali-sekala dia terbatuk. Sekejap-sekejap dia mencuri pandang ke arah perbualan Pak Teh dengan adiknya. 'Ya Allah, lembutkanlah hati adikku.' doa Nusaibah dalam hati.

~~~~

Nusaibah melipat pakaian Hanzalah untuk di masukkan ke dalam beg. Dalam hati dia bersyukur kerana Pak Teh berjaya memujuk adiknya untuk pergi menyambung pelajarannya. Dalam erti kata lain Pak Tehnya berhasil memaksa adiknya yang degil itu ke sana.

"Hanzalah.." panggil Nusaibah perlahan.

Hanzalah merenung kakaknya yang sibuk mengemas pakaiannya.

"Apa lagi ni kak?" soal Hanzalah kasar.

"Hanzalah adalah satu-satunya harapan kakak. Kakak mahu lihat Hanzalah berjaya. Bukan saja menggenggam ijazah, tetapi kakak mahu lihat adik kakak ni menjadi seorang pejuang risalah Allah." sambung Nusaibah. Kemudian dia terbatuk lagi.

"Heh.. akak, saya ni nak pergi belajar la kak. Bukannya nak pergi berperang macam Hanzalah yang dalam cerita akak tu! Entah apa-apa.. !" rengus Hanzalah.

"Oh, Hanzalah masih ingat ya cerita tu. Tapi sambungannya akak belum habiskan. Hanzalah nak dengar?" soal Nusaibah lembut. Langsung tiada riak marah di mukanya walaupun adiknya berkasar dengannya.

Tanpa melihat ke arah kakaknya, Hanzalah menggelengkan kepala. "Akak, saya pergi ni pun sebab Pak Teh yang paksa saya. Kalau tidak saya takkan pergi. " ujar Hanzalah.

"Pak Teh mahu yang terbaik buat kamu dik."

"Huh, entah-entah ada udang disebalik batu. Bukannya boleh percaya sangat Pak Teh tu." Hanzalah bersangka buruk.

"Hanzalah! Kenapa cakap macam tu? Tak elok bersangka buruk kat orang lain." Nusaibah meninggikan sedikit suara tapi masih kedengaran lembut.

"Akak dan Pak Teh sama je! Sengaja nak halau saya dari rumah kan? Sebab saya ni menyusahkan kakak kan?!" ujar Hanzalah semberono.

"MasyaAllah dik.. Tak pernah terlintas pun di hati kakak tentang tu." ujar Nusaibah perlahan. Dia cuba menahan air matanya dari gugur di depan adiknya.

"Ah.. semua orang sama je!" Hanzalah melerakkan pakaian di atas lantai yang dilipat oleh kakaknya. Dia melangkah kakinya keluar dari rumah.

Nusaibah terkedu dengan kelakuan adiknya. Dia berasa amat kasihan dengan Hanzalah. Hanzalah seperti remaja lain yang perlukan belaian manja dan kasih sayang dari seorang ayah.

Dia mengumpul dan melipat semula pakaian yang diselerakkan oleh Hanzalah tadi. Air matanya mula gugur.. 'Aku yakin cahaya itu ada tersimpan untuknya' luah Nusaibah dalam hati.

bersambung....

Cerpan : Abu Hanzalah [2]


Bahagian 2
[1][2]

"..Maka terjadilah pertempuran hebat sehingga banyak dari pihak Islam yang gugur syahid. Pihak musuh telah menyerang dari belakang. Akhirnya Hanzalah turut menjadi korban dalam keadaan sedang junub. Maka Rasulullah SAW pun melihat mayat Hanzalah dimandikan oleh para malaikat seperti mana dalam sabdanya: “Aku melihat diantara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air dari awan di dalam bejana perak..” Ustaz Rifqi menghela nafasnya. Kemudian dia menyambung lagi.

"Para sahabat tercengang-cengang mendengar ini. Salah seorang dari mereka, Abu Said Saidi lalu pergi melihat mayat Hanzalah. Wajah Hanzalah kelihatan tenang. Dari rambutnya kelihatan titisan air berlinangan turun. Sungguh beruntung Hanzalah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat. Subhanallah, tidak pernah terjadi dalam sejarah seorang syahid dimandikan dengan cara yang luarbiasa ini. Malahan matinya sebagai syuhada menjadikan ia sebagai penghuni syurga tanpa dihisab. " Ustaz Rifqi menamatkan ceritanya.

Ya, inilah sambungan cerita Abu Hanzalah yang belum sempat diceritakan oleh kakaknya kepadanya. Dia beruntung selepas dia memasuki sebuah institusi pengajian dia mengikuti usrah dengan Ustaz Rifqi.

Pada mulanya dia tidak begitu mengenali apa itu usrah, namun hatinya tertaut dengan usrah apabila hubungan baik yang diberikan oleh senior-seniornya yang selalu mengambil berat perihal dirinya. Semuanya kuasa Allah kerana Dia yang memegang hati-hati ini.

"Hanzalah.. " tegur satu suara dari arah belakang. Hanzalah berpaling ke arah suara itu.

"Eh, Ustaz. Asif, ana tak perasan tadi." ujar Hanzalah serba salah.

"Ustaz tengok enta ni banyak termenung. Enta ada masalah?" ujar Ustaz Rifqi cuba menyelami isi hati anak usrahnya.

"Eh, tak adalah ustaz. Ana baik-baik je. InsyaAllah.."

"Ke enta nak kahwin?" sengaja Ustaz melontarkan pertanyaan itu. Untuk memancing perbualan anak muda di depannya.

Hanzalah tercengang. Tidak pernah dia terfikir ke arah tu sedang umurnya masih jagung. Belum puas berada dalam medan perjuangan.

"Ustaz ni ke situ pulak. Ana masih mudalah ustaz. Belum masanya ana berfikir tentang itu." Hanzalah ketawa kecil. Dia tahu Ustaz hanya berseloroh dengannya.

"Muda apanya, masa Ustaz kahwin dulu umur sebaya entalah."

Hanzalah tersenyum. 'Ustaz memang orang yang layak untuk berkahwin. Tapi aku.. Apa yang aku boleh berikan untuk bakal isteriku nanti sedang aku pun masih belajar bertatih.' luah Hanzalah di dalam hati.

~~~~

"Hanzalah tak mahu pergi!"

Nusaibah terkedu dengan keputusan Hanzalah. Apabila Hanzalah mendapat surat tawaran ke IPTA, Nusaibahlah orang yang paling gembira. Dia mengharapkan sesuatu dengan pemergian adiknya ke sana.

Dia berharap agar Hanzalah menjadi manusia yang di dalam hatinya dipenuhi dengan cinta Allah dan Rasul. Kerana dia tidak mampu untuk mendidik adiknya dengan sempurna.

"Kenapa adik tak mahu pergi?" Nusaibah menyoal lembut.

"Kak! Kita ni orang miskin. Mana kita nak cedok duit buat belanja saya belajar. Ada ayah pun tak guna!"

"Hanzalah!!" Nusaibah meninggikan suaranya. Kemudian dia terbatuk-batuk kecil.

"Jangan cakap macam tu dik. Walau macamana pun dia, dia tetap ayah kita." Nusaibah menggosok-gosok lehernya. Kerongkongnya terasa pedih.

"Ayah apa macam tu! Buat mak menderita sampai mati dan biarkan kita terkontang-kanting kat sini..Itu yang dikatakan ayah! Boleh blah lah. Aku takkan pernah ada ayah yang macam tu!" Hanzalah menumbuk dinding. Air matanya tumpah. Geram bila memikirkan tentang ayahnya.

Dia menapak keluar dari rumah.

"Hanzalah nak ke mana tu? Hanzalah.. Hanzalah... " Panggilan Nusaibah tidak diendahkan oleh adiknya. Air mata yang disimpan tumpah juga.

Dia tahu dia tidak boleh salahkan Hanzalah jika membenci ayah mereka. Hanzalah selayaknya mendapat kasih sayang seorang ayah.

bersambung....

Cerpan : Abu Hanzalah [1]


Bahagian 1

"Hanzalah, mari kita solat berjemaah sama-sama." ujar Nusaibah yang sudah lengkap berpakaian solat.

"Eh, akak ni pehal pulak tetiba ajak saya solat berjemaah ni! Akak solat sorang jelah. Saya sibuk ni, kejar masa!" Hanzalah melontarkan alasan.

"Hanzalah tahu tak yang solat berjemaah tu pahala.. "

"Oke kak..saya tahu. Pahala orang yang solat berjemaah itu 27 kali ganda daripada solat seorang diri. Berapa kali akak nak cakap benda yang sama ni. Baik akak pi solat cepat. Tak baik melambatkan waktu solat." belum sempat Nusaibah menghabiskan ayatnya, Hanzalah memotong.

'Alhamdulillah, at least dia masih ingat kata-kata aku sebelum ni. Ya Allah, bukakanlah pintu hatinya.' bisik hati Nusaibah. Sebagai seorang kakak, dia terlalu ingin mendidik adiknya menjadi muslim yang mukmin.

Dia ingin yang terbaik buat adiknya, namun hati adiknya terlalu keras. Terkadang dia merasa putus asa, namun dia percaya suatu hari nanti Allah pasti memakbulkan doanya.

Tubir mata Hanzalah berair tatkala mengenangkan Nusaibah. Terlalu banyak dosa pada kakaknya itu. Kata-kata nasihat yang keluar daripada bibir kakaknya bagaikan mencurah air di atas daun keladi, dipandang nasihat itu acuh tak acuh.

Sehinggalah suatu hari dia ditawarkan ke satu pusat pengajian awam. Di situlah segala-galanya bermula. Di situlah dia mula mengerti soal tarbiyyah dan memahami ajaran Islam.

"Hanzalah, enta menangis?" tegur Khalid yang menyedari perubahan air muka Hanzalah. Hanzalah cuba mengawal emosi. Dia tidak mahu sahabatnya tahu gelodak perasaan yang bersarang di hatinya.

"Eh, tak lah. Mata ana ni dari tadi lagi berair. Masuk habuk barangkali. Pedih juga." Hanzalah berseloroh untuk menutupi perasaan hatinya. Ya, perasaan tu amat pedih!

"Aii, pakai cermin mata pun masuk habuk juga ke? hehe."  Khalid cuba berjenaka. Sengaja untuk menghiburkan hati sahabatnya. Bukan dia tidak tahu bahawa Hanzalah sedang bersedih. Garis-garis kesedihan dapat dikesan oleh Khalid. Hanzalah hanya tersenyum.

"Ye la Muhammad Khalid. Ingat orang pakai cermin mata habuk tak masuk ke?" Hanzalah membalas. Sekadar untuk menutup perasaannya.

"Iyelah, kan ada dua protection kat depan mata tu. Jadi kemungkinan habuk tu nak masuk susah la kan?" Khalid masih tak mahu mengalah. Entah, dia rasakan tiada modal lain untuk mengalih perhatian sahabat karibnya itu untuk melupakan sebentar masalah yang ada.

"Ni mesti teori enta cipta sendiri nie. Eh, dah lewat petang ni, jomlah pulang."

"A'ah. Dah petang rupanya. Tak habis lagi ni hirup pemandangan damai kat sini. Nanti enta bawak la lagi ana ke sini ye." ujar Khalid sambil tersengih-sengih.

~~~~

"Hanzalah nak dengar tak satu kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah dahulu?  Di zaman Rasulullah s.a.w dulu ada seorang sahabat yang namanya Abu Hanzalah. Beliau juga merupakan jurutulis Rasulullah s.a.w. Semasa peperangan Uhud berlaku, beliau telah dikecualikan oleh Rasulullah s.a.w untuk turun bersama ke medan perang kerana beliau baru saja menikah." Nusaibah mengambil nafas dan meneruskan ceritanya.

"..Namun sewaktu Hanzalah terjaga dari tidurnya,beliau mendengar gendang perang dibunyikan begitu kuat sekali. Beliau mendapat berita melalui seorang sahabat bahawa tentera islam mendapat tentangan yang sangat hebat dan keadaan menjadi terlalu genting. Tanpa membuang masa, Hanzalah memakai pakaian perang lalu mengambil pedangnya. Dia menuju ke medan perang tanpa sempat pun mandi junub." Nusaibah terbatuk-batuk. Batuknya menghalang dirinya untuk meneruskan cerita tersebut.

Hanzalah dari tadi diam mendengar cerita yang disampaikan oleh kakaknya. Kemudian dia berkata," Macam menarik juga cerita ni. Tapi kak, nama saya sama dengan orang yang dalam cerita tu. Ish, kalau saya, saya tak sanggup kot nak pergi sebab baru je menikah dah nak berperang. Peliklah Hanzalah dalam cerita ni." ujar Hanzalah. Dia akui dia tertarik dengan cerita kakaknya kerana namanya sama dengan pemuda tersebut.

"Akak belum habis cerita lagi. Abu Hanzalah tak pelik, tapi beliau memahami erti perjuangan yang sebenar. Beliau mencintai Allah melebihi segalanya dan syahid cita-citanya."ujar Nusaibah dengan nada yang agak perlahan.

"Erm, tak habis lagi ke kak? Err..xpela kak. Akak sambung lain kali je la. Saya nak keluar dengan kawan ni." Hanzalah membelek-belek jam di tangannya. Sekali lagi Nusaibah tersenyum. Baginya jika adiknya mahu mendengar itu sudah cukup. Seutas doa dibisikkan ke dalam hati buat adiknya.

bersambung.....