Laman ini diwujudkan khas untuk berkongsi karya-karya dari Musafir Cinta Ilahi dan sahabat-sahabat blogger buat tatapan semua. Semoga kisah-kisah yang dimuatkan memberi manfaat dan mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT. Selamat membaca. (:

Friday, 28 September 2012

Cerpan : Abu Hanzalah [2]


Bahagian 2
[1][2]

"..Maka terjadilah pertempuran hebat sehingga banyak dari pihak Islam yang gugur syahid. Pihak musuh telah menyerang dari belakang. Akhirnya Hanzalah turut menjadi korban dalam keadaan sedang junub. Maka Rasulullah SAW pun melihat mayat Hanzalah dimandikan oleh para malaikat seperti mana dalam sabdanya: “Aku melihat diantara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air dari awan di dalam bejana perak..” Ustaz Rifqi menghela nafasnya. Kemudian dia menyambung lagi.

"Para sahabat tercengang-cengang mendengar ini. Salah seorang dari mereka, Abu Said Saidi lalu pergi melihat mayat Hanzalah. Wajah Hanzalah kelihatan tenang. Dari rambutnya kelihatan titisan air berlinangan turun. Sungguh beruntung Hanzalah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat. Subhanallah, tidak pernah terjadi dalam sejarah seorang syahid dimandikan dengan cara yang luarbiasa ini. Malahan matinya sebagai syuhada menjadikan ia sebagai penghuni syurga tanpa dihisab. " Ustaz Rifqi menamatkan ceritanya.

Ya, inilah sambungan cerita Abu Hanzalah yang belum sempat diceritakan oleh kakaknya kepadanya. Dia beruntung selepas dia memasuki sebuah institusi pengajian dia mengikuti usrah dengan Ustaz Rifqi.

Pada mulanya dia tidak begitu mengenali apa itu usrah, namun hatinya tertaut dengan usrah apabila hubungan baik yang diberikan oleh senior-seniornya yang selalu mengambil berat perihal dirinya. Semuanya kuasa Allah kerana Dia yang memegang hati-hati ini.

"Hanzalah.. " tegur satu suara dari arah belakang. Hanzalah berpaling ke arah suara itu.

"Eh, Ustaz. Asif, ana tak perasan tadi." ujar Hanzalah serba salah.

"Ustaz tengok enta ni banyak termenung. Enta ada masalah?" ujar Ustaz Rifqi cuba menyelami isi hati anak usrahnya.

"Eh, tak adalah ustaz. Ana baik-baik je. InsyaAllah.."

"Ke enta nak kahwin?" sengaja Ustaz melontarkan pertanyaan itu. Untuk memancing perbualan anak muda di depannya.

Hanzalah tercengang. Tidak pernah dia terfikir ke arah tu sedang umurnya masih jagung. Belum puas berada dalam medan perjuangan.

"Ustaz ni ke situ pulak. Ana masih mudalah ustaz. Belum masanya ana berfikir tentang itu." Hanzalah ketawa kecil. Dia tahu Ustaz hanya berseloroh dengannya.

"Muda apanya, masa Ustaz kahwin dulu umur sebaya entalah."

Hanzalah tersenyum. 'Ustaz memang orang yang layak untuk berkahwin. Tapi aku.. Apa yang aku boleh berikan untuk bakal isteriku nanti sedang aku pun masih belajar bertatih.' luah Hanzalah di dalam hati.

~~~~

"Hanzalah tak mahu pergi!"

Nusaibah terkedu dengan keputusan Hanzalah. Apabila Hanzalah mendapat surat tawaran ke IPTA, Nusaibahlah orang yang paling gembira. Dia mengharapkan sesuatu dengan pemergian adiknya ke sana.

Dia berharap agar Hanzalah menjadi manusia yang di dalam hatinya dipenuhi dengan cinta Allah dan Rasul. Kerana dia tidak mampu untuk mendidik adiknya dengan sempurna.

"Kenapa adik tak mahu pergi?" Nusaibah menyoal lembut.

"Kak! Kita ni orang miskin. Mana kita nak cedok duit buat belanja saya belajar. Ada ayah pun tak guna!"

"Hanzalah!!" Nusaibah meninggikan suaranya. Kemudian dia terbatuk-batuk kecil.

"Jangan cakap macam tu dik. Walau macamana pun dia, dia tetap ayah kita." Nusaibah menggosok-gosok lehernya. Kerongkongnya terasa pedih.

"Ayah apa macam tu! Buat mak menderita sampai mati dan biarkan kita terkontang-kanting kat sini..Itu yang dikatakan ayah! Boleh blah lah. Aku takkan pernah ada ayah yang macam tu!" Hanzalah menumbuk dinding. Air matanya tumpah. Geram bila memikirkan tentang ayahnya.

Dia menapak keluar dari rumah.

"Hanzalah nak ke mana tu? Hanzalah.. Hanzalah... " Panggilan Nusaibah tidak diendahkan oleh adiknya. Air mata yang disimpan tumpah juga.

Dia tahu dia tidak boleh salahkan Hanzalah jika membenci ayah mereka. Hanzalah selayaknya mendapat kasih sayang seorang ayah.

bersambung....

No comments:

Post a Comment