Bahagian 3
Batuk Nusaibah menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Dia masih berusaha memujuk adiknya untuk menerima tawaran tersebut. Dia tidak mahu adiknya bercampur dengan budak-budak nakal di kampung itu.
"Koh..Koh..Kohhhh..Koohhhh..ehemmm.eheemm" dari tadi lagi Nusaibah tidak berhenti batuk. Sekali-sekala dia berdehem untuk meleraikan rasa kurang selesa di bahagian anak tekaknya.
"Akak, bisinglah! Kalau nak batuk, boleh tak batuk dalam bilik?! Sakit telinga saya ni. Silap-silap hari bulan tuli telinga saya ni 24 jam duk dengar akak batuk." Hanzalah meninggikan suara pada kakaknya. Dia sudah lupa dengan siapa dia bercakap. Langsung tidak dihormati kakaknya.
Nusaibah berganjak masuk ke dalam bilik. Tidak mahu batuknya itu mengganggu adiknya.
"Haaa.. Macam tu kan bagus!." dengus Hanzalah.
Selang beberapa minit, Hanzalah memanggil kakaknya. Dia menyuruh kakaknya mengambil air untuknya.
"Assalamualaikum.." kedengaran ada orang memberi salam dari luar rumah.
"Waalaikumussalam." ujar Nusaibah sambil tangannya membuka daun pintu.
"Eh, pak teh, mak teh.. Naiklah." Nusaibah menjemput mereka masuk dan bersalaman. Hanzalah menjeling sekilas. Langsung tiada hormat pada bapa dan mak saudaranya. Nusaibah mengatur langkah ke dapur untuk membuat air.
"Nusaibah, tak usahla ke dapur. Pak Teh dan mak teh dah minum dah tadi. Ni pun kami singgah sekejap je ni. " Nusaibah tidak jadi ke dapur.
"Hanzalah, Pak Teh nak cakap sikit dengan kamu. Ikut Pak Teh sebentar, kita cakap kat luar." ujar Pak Teh.
Hanzalah melangkah malas. 'Ish, apalah pula dengan orang tua ni. Tak boleh ke cakap kat situ je. Nak kena keluar pula!' rungut Hanzalah.
Sementara itu, Nusaibah berbual dengan Mak Teh. Sudah lama mereka tidak berbual bersama. Sekali-sekala dia terbatuk. Sekejap-sekejap dia mencuri pandang ke arah perbualan Pak Teh dengan adiknya. 'Ya Allah, lembutkanlah hati adikku.' doa Nusaibah dalam hati.
~~~~
Nusaibah melipat pakaian Hanzalah untuk di masukkan ke dalam beg. Dalam hati dia bersyukur kerana Pak Teh berjaya memujuk adiknya untuk pergi menyambung pelajarannya. Dalam erti kata lain Pak Tehnya berhasil memaksa adiknya yang degil itu ke sana.
"Hanzalah.." panggil Nusaibah perlahan.
Hanzalah merenung kakaknya yang sibuk mengemas pakaiannya.
"Apa lagi ni kak?" soal Hanzalah kasar.
"Hanzalah adalah satu-satunya harapan kakak. Kakak mahu lihat Hanzalah berjaya. Bukan saja menggenggam ijazah, tetapi kakak mahu lihat adik kakak ni menjadi seorang pejuang risalah Allah." sambung Nusaibah. Kemudian dia terbatuk lagi.
"Heh.. akak, saya ni nak pergi belajar la kak. Bukannya nak pergi berperang macam Hanzalah yang dalam cerita akak tu! Entah apa-apa.. !" rengus Hanzalah.
"Oh, Hanzalah masih ingat ya cerita tu. Tapi sambungannya akak belum habiskan. Hanzalah nak dengar?" soal Nusaibah lembut. Langsung tiada riak marah di mukanya walaupun adiknya berkasar dengannya.
Tanpa melihat ke arah kakaknya, Hanzalah menggelengkan kepala. "Akak, saya pergi ni pun sebab Pak Teh yang paksa saya. Kalau tidak saya takkan pergi. " ujar Hanzalah.
"Pak Teh mahu yang terbaik buat kamu dik."
"Huh, entah-entah ada udang disebalik batu. Bukannya boleh percaya sangat Pak Teh tu." Hanzalah bersangka buruk.
"Hanzalah! Kenapa cakap macam tu? Tak elok bersangka buruk kat orang lain." Nusaibah meninggikan sedikit suara tapi masih kedengaran lembut.
"Akak dan Pak Teh sama je! Sengaja nak halau saya dari rumah kan? Sebab saya ni menyusahkan kakak kan?!" ujar Hanzalah semberono.
"MasyaAllah dik.. Tak pernah terlintas pun di hati kakak tentang tu." ujar Nusaibah perlahan. Dia cuba menahan air matanya dari gugur di depan adiknya.
"Ah.. semua orang sama je!" Hanzalah melerakkan pakaian di atas lantai yang dilipat oleh kakaknya. Dia melangkah kakinya keluar dari rumah.
Nusaibah terkedu dengan kelakuan adiknya. Dia berasa amat kasihan dengan Hanzalah. Hanzalah seperti remaja lain yang perlukan belaian manja dan kasih sayang dari seorang ayah.
Dia mengumpul dan melipat semula pakaian yang diselerakkan oleh Hanzalah tadi. Air matanya mula gugur.. 'Aku yakin cahaya itu ada tersimpan untuknya' luah Nusaibah dalam hati.
bersambung....
No comments:
Post a Comment